Tanggal 24 Julai 2021 adalah tarikh yang sangat berat untuk saya. Ya, ayah pergi kepda Penciptanya pada tarikh tersebut. Setelah sebulan sakit kuat, ayat pergi mengadap Allah swt pada jam lebih kurang 5.00 pagi, sebelum subuh. Alhamdulillah, setelah berbincang dengan mak dan kakak-kakak di kampung, abang saya, Ustaz Shafiee Hamzah memutuskan untuk menunggu semua adik beradik sampai sebelum memandikan ayah. Kematian ketika PKP ini sangat mencabar. Kalau hari biasa, kita terus pecut kereta balik. tapi masa PKP, perlu mendapatkan permit perjalanan dari polis.

Saya terpaksa tinggalkan isteri, dan dua anak kecil di rumah. Saya pulang membawa dua anak yang lebih besar. Kashful dan Asif. Kami tiba 4 jam kemudian. Alhamdulillah, Allah beri kesempatan untuk mandikan dan kemudian boleh berikan khidmat terakhir untuk ayah di dalam liang lahad. Kami sekeluarga menyolati ayah dengan abang saya mengimamkan solat. Semua anak dan cucu yang ada solat kepada Tokki. Rasanya dapat 40 orang. Abang saya menyempurnakan pengebumian ayah dengan talqin dan tahlil ringkas. 24 Julai adalah hari yang singkat pada saya, sebab ia hari terakhir saya bersama ayah. Kemudian, selesai semua sekali sekitar jam 6.30 petang. Proses pemakaman sangat cepat. alhamdulillah, saya ucapkan kesyukuran kerana pengebumian sangat lancar. Malam itu kami bertahlil bersama-sama dengan abang menjadi juragan. Malam pertama, terasa rindu tak terkira kepada ayah. Semoga Allah memberi rahmat kepada ayah dan menempatkan rohnya bersama para anbiya dan salafussoleh.

Ayah kami ini sangat istimewa di mata kami. Beliau membesar sebagai seorang anak yatim piatu pada umurnya 4 tahun. Berpindah tangan seorang demi seorang penjaganya sehingga takdir Allah menemukan ayah dengan mak. Mereka membesarkan kami di Kemaman. Terengganu. Ayah seorang yang cekal. Saya tidak merasai perasaan seorang anak yatim. Membesar tanpa ayah dan ibu. Tapi kalau kita baca sirah Rasulullah s.a.w, baginda juga yatim piatu dari kecil. Menumpang kasih kepada bapa saudara. Sungguh pilu. Begitu juga kisah ayah. Membesar tanpa ibu dan ayah.

Ayah masa mudanya bekerja membasuh kereta. Kemudian menjadi seorang pemandu bas. Sebelum kerja terakhir ayah adalah seorang pemandu lori pasir. Alhamdulillah, dengan ibu sebagai seorang suri rumah sepenuh masa, ayah membesarkan kami dengan pendapatan lebih kurang RM400 sebulan. Akhirnya apabila saya masuk ke sekolah menengah, kakak-kakak saya mintak ayah bersara. Percaya atau tidak, perkara yang paling saya suka adalah naik ke belakang lori pasir ayah bermain. Inilah kenangan paling indah. Cuma kami jarang dapat peluang tu. Kalau dapat, kami tersenyum riang. Angin bersepoi-sepoi menepa muka bila lori ayah bergerak perlahan…

Ayah sangat suka pada kerjanya sebagai seorang pemandu lori. Ini kerana, ayah boleh pulang ke rumah sebelum asar. Ayah adalah imam di surau. Surau ini dibangunkan oleh Ustaz Leh (arwah) dan ayah sebelumnya bertindak sebagai salah seorang bilal di surau berkenaan. Menurut mak, ayah tidak tinggal solat 5 waktu di surau sejak usia abang saya iaitu sejak tahun 1977. Alhamdulillah, sampai sehingga 2016, ayah kekal di surau. Dia imam tarawih, dia imam 5 waktu selepas Ustaz Leh berpindah. Selepas 2016, ayah ditimpa kemalangan selepas solat subuh dan menghadkan pergerakan ayah ke surau. Sekitar 2018 ayah mula kurang ingat dan akhirnya pada 2021, ayah pergi selamanya. Alhamdulillah saya sempat berkhidmat menolak ayah di kerusi roda ketika umrah bersama ayah pada tahun 2017.

Ayah idola saya. Saya tak rasa saya mampu menandingi ayah dalam solat 5 waktu. Bayangkan lebih 45 tahun, ayah mengambil wudhu lebih awal daripada waktu solat, untuk ayah laungkan azan atau imamkan solat. Ayah sangat dedikasi kepada suraunya. Saya berpeluang untuk membesar daripada darjah satu sehingga tingkatan 5, saya tinggal di rumah. Walaupun dapat tawaran ke KISAS, saya tidak pergi dan menghabiskan pengajian SPM saya di SMA Al-Falah di kemaman sahaja. Jadi ketika belasan tahun, saya mengikuti ayah ke surau dan solat jumaat di masjid. Ayah hanya menasihatkan saya untuk ke terus surau, tak pernah ayah marah dan pukul. Sangat lembut ayah. Masih teringat kalau ayah duduk beratib selepas maghrib di surau sehingga waktu Isya’. Antara pesan ayah adalah “ayah kalau boleh nak semua anak-anak ayah menghafal yaasin.”. Alhamdulillah, kami adik beradik lelaki menghafal yaasin dan beberapa surah lain. ayah juga hafal beberapa surah lain seperti sajadah dan mulk. Saya selalu mendengar ayat mengulangnya ketika sebelum tidur. Ayah juga ingat sekitar 40 ayat dari surah al-kahfi. Saya masih merindui suaranya.

Semoga ayah tenang di perbaringan. Ayah bagi saya menjadi contoh terbaik untuk saya. Walaupun tanpa didikan formal, ayah tetap berjaya mendidik kami menjadi anak-anak yang berjaya (insyaAllah). Saya doakan agar amalan ayah diterima dan ayah diampunkan segala dosanya oleh Allah swt. Kami anak-anaknya. akan berterusan mendoakan ayah dengna sebaik-baik doa dan semoga Allah berikan yang terbaik kepada kami dalam mengenang ayah.

Selamat tinggal ayah. Nanti kita berjumpa lagi. InsyaAllah. Al-Fatihah.

Visited 24 times, 1 visit(s) today
Share

Leave a Reply